OP Didik yang dijalankan JSPT Selangor di hadapan SMK Bukit Indah, Ampang.
OP Didik yang dijalankan JSPT Selangor di hadapan SMK Bukit Indah, Ampang.
Mohd Hasbi Sidek


Ampang: Bapa borek anak rintik. Itu yang berlaku apabila golongan ibu bapa turut ditahan polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen selain anak-anak mereka yang didapati melakukan kesalahan sama.

Malah golongan dewasa ini yang wajar menjadi teladan sebaliknya membiarkan anak mereka berkeliaran menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar serta tidak memiliki lesen sah.

Kesedaran di tahap rendah ini dibuktikan melalui operasi Op Didik dijalankan Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, di sini, pagi semalam.

Dalam operasi yang bermula pada jam 6.45 pagi itu, polis mengesan 44 pelajar tidak memakai topi keledar dan 13 individu dewasa tiada lesen menunggang sah.

Ketua JSPT Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, operasi berkenaan dijalankan bertujuan mendidik pelajar dan ibu bapa yang tidak mengendahkan peraturan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan cukai jalan sudah tamat tempoh.

“Operasi yang dijalankan dengan kekuatan seorang pegawai dan lapan anggota dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang ini turut memeriksa 86 pelajar di hadapan sekolah berkenaan.

“Hasilnya kami mengeluarkan 63 saman membabitkan pelbagai kesalahan membabitkan pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, kesalahan tidak memakai topi keledar mencatatkan saman paling tinggi iaitu sebanyak 44 saman manakala tidak memiliki lesen sebanyak 17 saman termasuk tiga yang dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal mengemukakan lesen dan lesen tamat tempoh.

“Kesalahan lain adalah tiada perlindungan insurans dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Menurut Kamaludin, dalam operasi sama pihaknya menyita 15 motosikal atas pelbagai kesalahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, ibu bapa memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak mereka, malah mereka juga perlu mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan walaupun di kawasan pinggir bandar dan jarak antara rumah ke sekolah dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 5:42 AM