NAJIB menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Hari Wesak.
NAJIB menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Hari Wesak.
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Kebersamaan antara berbilang kaum menjadi asas kepada kestabilan politik dan sosial di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tanpa mengamalkan nilai bersama yang mengikat rakyat negara ini, ia tidak mampu dicapai.

Beliau berkata, kestabilan politik dan sosial penting jika semua pihak mahu membawa Malaysia ke depan dengan merealisasikan potensi sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang keturunan, agama dan budaya untuk mencapai masa depan lebih baik.

Katanya, keharmonian antara agama berlandaskan kepada persefahaman serta hormat menghormati dan itu satu nilai yang perlu dikembang dan diperkukuhkan.

“Pengasas negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan bukan hanya menggubal perlembagaan Persekutuan semata-mata malah menetapkan nilai dan asas politik untuk kita menempa keharmonian antara agama yang membawa kepada perpaduan rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Minum Petang Sempena Sambutan Hari Wesak Kebangsaan di bangunan Samadhi Vihara, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Persatuan Penganut Buddha Malaysia Sit Chan Liang, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bersama Wesak Ng Hong Pau, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Lebih 1,000 penganut agama Buddha hadir pada majlis itu.

Najib berkata, Malaysia unik kerana ia satu-satunya negara yang mempunyai hubungan dengan gugusan kepulauan Melayu, ketamadunan China, India dan pelbagai lagi.

Menurutnya, perpaduan dalam kepelbagaian kaum menjadikan Malaysia sebagai negara model yang dihormati masyarakat antarabangsa.

“Kita tidak mempunyai ketegangan, konflik keganasan yang dilalui negara lain dan mereka mengatakan Malaysia negara yang aman dan sejahtera.

“Jadi, mari kita pastikan ia berterusan pada masa depan,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut memuji sikap penganut agama Buddha yang menghormati laungan azan Asar ketika beliau berucap.

“Terima kasih tuan puan. Sebentar tadi satu lagi contoh bagaimana kita saling hormat-menghormati antara kaum dan agama dalam negara kita.

“Bila azan berkumandang, tuan puan yang menganuti Buddha menghormati azan yang begitu dekat di hati orang Islam.

“Terima kasih saya ucapkan kerana tunjuk sikap menghormati agama lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat negara ini jangan mudah terpengaruh dengan pelampau ekstremis yang sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat.

“Pastikan pelampau ekstremis tidak mempengaruhi kita sebaliknya biarkan mereka terus terpinggir,” katanya.

Ends....

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:16 AM