INDIVIDU yang ditahan bagi membantu siasatan.
INDIVIDU yang ditahan bagi membantu siasatan.

Johor Bahru: Tiga individu termasuk seorang wanita direman dua dan tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan membabitkan kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Institusi Diraja Johor serta menyamar keluarga Diraja Johor.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Hidayah Abdul Manaf bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap dua individu terbabit mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan wanita berkenaan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan (KK).

Permohonan itu dikemukakan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Juhana Airin Jumaat dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di mahkamah berkenaan jam 2.30 petang semalam.

Tempoh reman tiga hari bermula semalam hingga 19 April dibenarkan terhadap eksekutif operasi berusia 26 tahun dan seorang lelaki berusia 44 tahun selepas dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Institusi Diraja Johor menerusi Facebook (FB).

Hidayah turut membenarkan tempoh reman dua hari bermula semalam terhadap operator kilang wanita berusia 40 tahun itu selepas dipercayai membuat akaun FB palsu bagi menyamar sebagai keluarga Diraja Johor pada 19 Januari lalu.

Polis Johor sebelum ini sedang mengesan tujuh individu bagi membantu menyelesaikan kes berkaitan penghinaan terhadap Kerabat Diraja Johor melalui media sosial.

Menerusi kenyataan media, semua individu berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Senarai itu membabitkan seorang wanita, Norezan Md Don, 39, yang berasal dari Felda Tenggaroh 6, Mersing; Zamri Zainol Abidin, 44, beralamat di Petaling Jaya.

Turut dikehendaki, Hussein Abd Hamid, 69, dari Kuala Lumpur; Mohd Syafiq Abdullah, 46, dari Batu Caves dan Nur Hadi Mohamad, 26, dari Rawang. Polis Johor juga sedang mengesan Azizul M Remli, 22, dari Kuala Krai, Kelantan dan Azani Nor Shaufik Abd Rani, 26, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:07 AM