AKSI golongan veteran yang turut serta berkayuh.
AKSI golongan veteran yang turut serta berkayuh.
PASANGAN Anuar dan Jamaliah pada program kayuhan basikal klasik.
PASANGAN Anuar dan Jamaliah pada program kayuhan basikal klasik.
Icka S Hassan


Kuala Langat: Walaupun usia basikal lebih tua daripada pemiliknya, ia bukan penghalang buat pasangan veteran Anuar Abu, 57, dan Jamaliah Ahmad, 59, menyertai Kayuhan Klasik Kenang-Kenangan 2017 Sijangkang di sini, semalam.

Menurut Anuar, dia menggunakan basikal klasik yang diberikan bapanya sejak di bangku sekolah lagi.

“Basikal ini digunakan bapa saya pada 1953 untuk ke tempat kerja sebelum diberikan kepada saya.

“Usia basikal ini sudah pun mencecah 64 tahun dan saya masih menjaganya dengan baik dan masih mampu dikayuh sejauh manapun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Anuar berkata, dia kini memiliki 14 basikal antik pelbagai jenama yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Semua basikal yang saya kumpul kebanyakannya daripada rakan yang tidak mahu menyimpan lagi basikal lama dan ada juga saya ambil dari tempat buangan besi buruk.

“Selepas saya ambil dan baik pulih semula basikal itu, ramai mahu membelinya dengan harga RM5,000, namun saya tolak dengan baik,” katanya yang menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Jamaliah berkata, walaupun letih setiap kali menyertai kayuhan basikal klasik namun dia seronok apabila dapat berjumpa rakan yang mempunyai minat sama.

“Selain gembira dan teruja apabila berjumpa rakan baru, saya juga dapat menguji tahap kayuhan saya untuk setiap tahun.

“Kalau boleh saya mahu mengekalkan stamina dan membuktikan usia bukan penghalang untuk saya mengayuh seperti anak muda lain,” katanya yang pernah mengayuh menggunakan basikal klasik sejauh 30 kilometer.

Menurut Jamaliah, dia beriadah di kawasan perumahannya bagi mengekalkan tahap kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:04 AM