MOHD Ariff (hadapan kiri) bersama peserta kayuhan melalui jalan di bandar Seremban.
MOHD Ariff (hadapan kiri) bersama peserta kayuhan melalui jalan di bandar Seremban.
Amran Yahya


Seremban: Ahli Persatuan Basikal Tuo Soghomban (PBTS) mengambil peluang mengayuh basikal yang menjadi pengangkutan popular sekitar 1950-an di sekitar bandar ini bagi mengimbau semula kenangan lalu, semalam.

Pengerusi PBTS Mohd Ariff Bidin, 36, berkata, dia mengumpulkan 100 peserta berusia 15 hingga 70 tahun dengan mengayuh basikal tua berkenaan sejauh 15 kilometer bermula dari Ampangan menuju ke pusat bandar dan Muzium Negeri, seawal jam 9 pagi.

“Banyak bukti yang mengaitkan basikal tua sudah lama bertapak di Negeri Sembilan khususnya di Seremban. Sebagai contoh sebuah kedai basikal wujud di Jalan Datuk Bandar Tunggal sejak 1940-an yang dimiliki oleh seorang warga emas dikenali sebagai John.

“Mengikut cerita John, dia mewarisi kedai itu daripada mendiang bapanya dan sehingga kini masih tetap menyimpan dan menjual alat ganti basikal tua biarpun mendapat saingan dengan basikal moden,” katanya, di sini.

Pada program itu, pelbagai jenis basikal klasik buatan England keluaran dari 1940 seperti Royal Enfield, Raeligh, New Hudson, BSA, Philips, Hercules dan lain-lain turut digayakan.

Menurut Mohd Ariff, sepanjang kayuhan, peserta turut dibawa ke kedai basikal milik John selain beberapa kawasan bersejarah termasuk Balai Polis Seremban, Muzium Negeri, Wisma Ceylonese dan Taman Tasik Seremban.

“Semua lokasi ini mempunyai nostalgia tersendiri yang pasti dapat mengimbau kenangan,” katanya.

Salah seorang peserta, Anuar Abu, 64, berkata selain mengimbau nostalgia berbasikal tua, aktiviti berkayuh itu juga dapat membina kekuatan mental serta fizikal.

“Hanya mereka yang mempunyai ketahanan mental dan fizikal mampu menyahut cabaran ini. Ini terbukti apabila semua peserta berjaya menamatkan kayuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:52 AM