Bukit Mertajam: “Sepuluh tahun kami cari (buaya), baru hari ni kami jumpa,” demikian kata Mohd Hasani Dain, 34, penduduk Kampung Tanjung Batu, di sini, selepas buaya tembaga sepanjang lima meter ditangkap di Sungai Sembilang, di sini, semalam.

Mohd Hasani berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, penduduk kampung di sini terlihat kelibat buaya berkenaan di celah pohon bakau, di sini, sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Katanya, sebelum ini, sejak 10 tahun lalu penduduk kampung sering terserempak buaya berkenaan dan beberapa kali cuba menangkapnya, tetapi tidak berjaya.

Difahamkan, di kawasan itu ada lebih kurang empat sehingga lima buaya daripada spesies sama seperti yang ditangkap.

“Buaya ini tidak mengganggu orang kampung dan hanya makan monyet serta hidupan liar di kawasan paya bakau di sini.

“Namun, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, ia terpaksa ditangkap dan diserahkan kepada pihak berkenaan, malah ketika ditangkap dia tidak melawan dan dipercayai sedang sakit,” katanya.

Menurutnya, penemuan buaya air masin di kawasan ini bukan perkara baru malah sudah beberapa kali kelibat ‘sang bedal’ ini dilihat orang ramai.

Namun, katanya, dalam tempoh 10 tahun, ini kali pertama buaya ditangkap di kawasan itu dan beberapa ekor lagi dipercayai masih berada di kawasan pantai di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 9:04 AM