Sultan Muhammad V menandatangani plak perasmian Mahkamah Syariah sambil diperhatikan  Mohd Khalil  (dua dari kiri),   Jamil Khir  (tiga dari kanan) dan  Idris  (tiga dari kiri), semalam.
Sultan Muhammad V menandatangani plak perasmian Mahkamah Syariah sambil diperhatikan Mohd Khalil (dua dari kiri), Jamil Khir (tiga dari kanan) dan Idris (tiga dari kiri), semalam.
myMetro

Jasin: Lebih 10,000 rakyat jelata menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang berkenan merasmikan Mahkamah Rendah Syariah di Kompleks Kota Al-Hasanah Sungai Rambai, di sini, semalam.

Seawal jam 9 pagi, pekarangan Kompleks Kota Al-Hasanah dibanjiri orang ramai yang mahu menyambut ketibaan baginda walaupun majlis berlangsung hampir dua jam kemudian.

Ketibaan baginda jam 11.35 pagi disambut Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Baginda berkenan mencemar duli mengadakan lawatan di sekitar mahkamah rendah syariah itu sebelum bersama-sama rakyat yang hadir bagi Majlis Santapan Rakyat.

Turut mencemar duli Tengku Temenggong Kelantan Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Othman Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abdul.

Sebanyak RM2.9 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat bagi pembinaan Mahkamah Rendah Syariah bercirikan teknologi hijau itu yang sebelum ini beroperasi di bangunan berhampiran sejak 2015.

Majlis merasmikan Mahkamah Rendah Syariah di Kompleks kota Al-Hasanah adalah penutup tirai lawatan kerja baginda selama tiga hari ke Melaka bermula Khamis lalu.

Melaka dipilih sebagai negeri pertama lawatan rasmi sejak baginda dilantik ke jawatan itu, 13 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:11 AM