DR Chiam (tiga dari kanan) dan Marianne (kanan) beramah mesra dengan peserta program.
DR Chiam (tiga dari kanan) dan Marianne (kanan) beramah mesra dengan peserta program.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kanak-kanak antara individu yang paling mudah menjadi mangsa keganasan fizikal serta emosi apabila kajian pada tahun lalu merekodkan kira-kira 700 juta kanak-kanak dan remaja di Asia berhadapan sekurang-kurangnya sekali situasi dalam hidup mereka.

Setiausaha Umum dan Wakil Khas Keganasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Marta Santos Pais berkata, keganasan membabitkan kanak-kanak atau remaja sering berlaku tanpa mengira latar belakang dan persekitaran mereka.

Beliau berkata, antara keganasan yang sering membelenggu mereka membabitkan kes seksual, buli dan saksi keganasan, sekali gus memberi kesan kepada mental serta fizikal.

“Tahun lalu 64 peratus kanak-kanak dan remaja berumur antara dua hingga 17 tahun mengalami paling kurang satu bentuk keganasan.

“Keadaan itu mampu memberi tekanan dan kesan negatif kepada pertumbuhan otak bagi sepanjang tempoh peralihan usia mereka.

“Sepanjang proses kedewasaan, mereka akan sentiasa ingat dan ia menyebabkan berlakunya kemerosotan pembelajaran, masalah tingkah laku, gangguan mental dan fizikal,” katanya pada forum ‘Violence-Free Early Childhood’ di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kualiti Profesional Pendidikan Awal Kanak-kanak Datuk Dr Chiam Heng Keng dan Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Kanak-Kanak (UNICEF) di Malaysia Marianne Clark-Hattingh.

Forum yang dihadiri oleh 150 peserta daripada pelbagai agensi berkaitan kanak-kanak itu berkongsi pandangan dalam usaha mewujudkan persekitaran kanak-kanak bebas daripada keganasan.

Marta berkata, laporan keganasan kanak-kanak dan remaja dilihat semakin meningkat bagi tempoh lima tahun dengan ada antara mereka didera ahli keluarga masing-masing yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung.

“Kesan keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja ini menyebabkan mereka mengulangi perbuatan terbabit berdasarkan pengalamannya sebelum ini iaitu pernah menjadi mangsa penderaan atau seksual,” katanya.

“Jadi kita mahu sokongan penuh masyarakat terhadap usaha untuk menghapuskan semua bentuk keganasan kepada kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

“Jika mereka mendapat perhatian dan perlindungan baik dari suasana persekitaran, ia boleh memberi daya tahan serta keyakinan tinggi meningkatkan kemahiran, sekali gus berjaya dalam kehidupan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:43 AM