PAMERAN SL1M di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan  Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.
PAMERAN SL1M di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Beroperasi tanpa dana kerajaan, namun ia bukan halangan untuk sebuah program latihan pekerjaan, Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) berkembang dan terus membimbing graduan lulusan universiti awam (UA) di negara ini mendapat pekerjaan yang baik.

Lebih membanggakan, SL1M yang kini diletakkan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah membantu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 80,000 peserta sejak 2011.

Mahu dikenali sebagai pusat ‘amal jariah’, SL1M kini disokong dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana syarikat-syarikat ini menawarkan skim latihan industri secara percuma kepada graduan selain memberi elaun minimum bulanan RM1,000 sepanjang tempoh latihan.

Berkongsi kelebihan SL1M, Ketua Sekretariatnya Norashikin Ismail berkata, setiap graduan yang menyertai SL1M bukan saja mendapat pengalaman sebenar alam pekerjaan sebaliknya dilatih untuk menguasai kemahiran berkomunikasi, meningkatkan keyakinan diri dan mempersiapkan diri dengan pengalaman bekerja.

Justeru, katanya, belum terlambat untuk seseorang graduan menganggur mengubah nasib diri dan keluarga kerana SL1M menyediakan pakej lengkap untuk bergelar seorang pekerja yang baik setaraf profesional.

“Kebanyakan graduan yang hadir untuk temu duga program ini daripada keluarga kurang berkemampuan dan menetap di kawasan pedalaman. Malah, ada antara mereka yang tidak berkemampuan untuk keluar mencari pekerjaan kerana masalah kewangan.

“Kajian mendapati kebanyakan graduan menganggur kurang kemahiran komunikasi di mana ia satu elemen penting di alam pekerjaan. Selain itu, mereka juga tidak mempunyai pemikiran kreatif; tiada sikap sebagai seorang profesional; kurang penampilan diri dan tidak mampu menyerap tekanan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya tidak mahu menyalahkan sesiapa, namun ia belum terlambat untuk graduan menganggur keluar daripada kepompong berkenaan.

Norashikin berkata, SL1M yang dilancarkan pada 1 Jun 2011 antara program kebolehpasaran bertujuan membantu graduan menganggur meningkatkan keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu; kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan di mana-mana sektor pekerjaan.

Beliau berkata, peserta yang terpilih mengikuti SL1M akan ditawarkan tempat latihan maksimum sehingga setahun di GLC terpilih dan mereka juga akan ditawarkan kerja tetap sekiranya menunjukkan prestasi kerja yang baik sepanjang latihan.

“Kami juga mendapati, peserta yang tamat latihan SL1M berjaya melengkapkan diri masing-masing dengan kehendak diperlukan industri malah, mereka turut ditawarkan kerja tetap di GLC terkemuka negara.

“Apabila diberi bimbingan dan peluang, mereka sebenarnya boleh berubah sekali gus memenuhi kriteria diperlukan syarikat,” katanya.

Katanya, pelbagai kisah kejayaan graduan yang dikumpulkan pihaknya sepanjang mengendalikan sesi temu duga dan latihan SL1M termasuk kisah seorang graduan menghidap barah yang dipinggirkan majikan, namun berjaya mendapat pekerjaan baik biarpun mempunyai sejarah dan rekod kesihatan yang buruk.

Norashikin berkata, graduan wanita itu berjaya mengharungi SL1M dengan cemerlang, berkahwin dan mempunyai anak serta mempunyai pekerjaan yang baik.

Selain itu, katanya ada seorang graduan wanita yang mendapat manfaat daripada program ini di mana dia hadir pada sesi temuduga dengan pelbagai masalah dan kesukaran, termasuk baru dua minggu berkahwin; mempunyai adik beradik yang ramai; bapa yang mempunyai empat isteri dan ibu bekerja sebagai tukang jahit.

“Graduan itu bertekad memasuki program ini kerana ia peluang untuk mengubah nasib keluarganya dan kini mampu mendapat pekerjaan yang baik dan menanggung keluarganya,” katanya.

Terkenal agensi cari kerja

Putrajaya: Tidak hanya mendapat sokongan penuh daripada syarikat berkaitan (GLC), program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) turut dikenali ramai sebagai agensi mencari pekerjaan yang popular di Malaysia buat masa ini.

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, pihaknya berbangga kerana beberapa agensi dan laman mencari pekerjaan mula menjalinkan kerjasama dengan SL1M terutama bagi majikan yang mencari pekerja.

Beliau berkata, ia satu pengiktirafan buat SL1M yang sudah bertapak di Malaysia sejak enam tahun lalu.

“Mereka (agensi dan laman mencari pekerjaan) mencari kami kerana kami mempunyai pangkalan data graduan yang ramai dan menyeluruh serta lengkap,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, setiap tahun pihaknya berjaya mengumpul kira-kira 50,000 data graduan yang menganggur di seluruh negara.

Sementara itu, Norashikin berkata, pihaknya berharap graduan menganggur dan orang ramai yang ingin mendapatkan pekerjaan supaya dapat hadir beramai-ramai pada Program Temu Duga Kerjaya SL1M yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 12 dan 13 Oktober ini.

Menurutnya, pihaknya berjaya membawa 120 syarikat terutama berstatus GLC sepanjang dua hari berkenaan di mana 10,000 peluang pekerjaan dan program latihan ditawarkan.

“Program ini turut mendapat kerjasama kerajaan negeri Johor, Johor Corporation (JCorp), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Khazanah Nasional Bhd, Iskandar Investment Bhd (IIB), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Kami menyasarkan jumlah pengunjung sehingga 25,000 selama dua hari program berlangsung bagi menikmati dan merebut pelbagai tawaran yang disediakan,” katanya.

Katanya, IRDA menerusi Program Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) menyediakan dana kewangan khas RM5 juta dan Dana Profesional Iskandar Malaysia (IMProF) RM20 juta untuk pencari kerja sepanjang dua hari program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:33 AM