MAYAT wanita yang ditemui di Taman Klana Jubli dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban  untuk dibedah siasat.
MAYAT wanita yang ditemui di Taman Klana Jubli dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dibedah siasat.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Mayat seorang wanita tempatan ditemui dalam keadaan menyayat hati di tempat pembuangan sampah berhampiran kubur Cina di Taman Klana Jubli, Rasah, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, mayat yang berulat dan ditutupi sampah itu ditemui penduduk pada jam 10 malam.

Katanya, kemudian penduduk memaklumkan kepada polis sebelum sepasukan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, polis mendapati mayat dipercayai wanita Melayu itu sudah berulat dan berbau busuk.

“Berdasarkan keadaannya, ia dipercayai sudah meninggal dunia sejak lima hari lalu,” katanya.

Kata sumber itu, mayat ditemui dalam sebuah lubang dan ditutupi sampah-sarap.

“Selain anggota polis, sepasukan anggota bomba turut bergegas ke lokasi bagi mengeluarkan mayat yang dikatakan terlalu ‘berat’,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat.

“Buat masa ini siasatan masih dijalankan sama ada ia bersabit kes bunuh atau kematian mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 6:49 AM