KAKITANGAN TNB lebam di muka, cedera di kaki, paha, betis dan belakang badan dipercayai akibat dibelasah tiga anggota polis ketika disoal siasat.
KAKITANGAN TNB lebam di muka, cedera di kaki, paha, betis dan belakang badan dipercayai akibat dibelasah tiga anggota polis ketika disoal siasat.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Seorang lelaki mendakwa lebam di muka, cedera di kaki, paha, betis dan belakang badan akibat dipukul ketika disoal siasat berkaitan kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, 19 Januari lalu.

Sumber polis berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas polis menemui dadah dalam kereta rakannya ketika pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Garden Avenue, Seremban 2, jam 10.30 malam 18 Januari lalu.

Katanya, pekerja syarikat swasta itu bersama empat rakan berada di premis itu bagi meraikan sambutan hari lahir ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan operasi.

“Kelima-limanya ditahan susulan pemeriksaan ke atas Perodua Bezza dinaiki menemui bungkusan dadah dan mereka dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kata sumber, lelaki itu mendakwa dia dipukul anggota polis ketika tangan bergari dalam soal siasat dijalankan antara jam 1.30 pagi hingga jam 6.30 pagi, 19 Januari lalu.

“Dia turut mendakwa ditumbuk di muka dan dilibas menggunakan paip getah di belakang badan, kaki, paha, punggung dan betis dengan disaksikan rakan-rakannya yang turut ditahan itu,” katanya.

Katanya, pada jam 9 pagi hari sama, lelaki itu dan rakan-rakannya dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan reman empat hari hingga 22 Januari.

“Lelaki terbabit memaklumkan seorang kakitangan mahkamah apa yang terjadi ke atas dirinya dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada jam 4.30 petang sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan dia cedera akibat dipukul,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit dan rakannya didakwa di Mahkamah Majistret, Seremban mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada Selasa lalu dan mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Februari depan.

Selepas selesai proses dituduh di mahkamah, lelaki itu dengan ditemani abangnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban jam 7.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:15 AM