Sukarelawan MyCorps Timur Tengah menjalankan aktiviti bersama pelarian Syria di Lubnan.
Sukarelawan MyCorps Timur Tengah menjalankan aktiviti bersama pelarian Syria di Lubnan.
 Khairy   bersama pelarian Syria dan sukarelawan MyCorps Timur Tengah di Lubnan.
Khairy bersama pelarian Syria dan sukarelawan MyCorps Timur Tengah di Lubnan.
Ardyhansah Amat


Lubnan: Kesedihan lebih 400pelarian Syria yangkehilangan tempat tinggal, sedikit terubat apabila Program Kepimpinan Kesukarelawan Belia Malaysia (MyCorps) berjaya membina empat kemudahan di beberapa kem pelarian sekitar Lubnan, minggu lalu.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin berkata, semua kemudahan itu dibina kem pelarian sekitar Lembah Bekaa, Ta’labaya dan Ketermaya yang menempatkan ratusan pelarian perang dari Syria.

“Antara kemudahan yang disediakan adalah gelanggang futsal dikenali sebagai ‘Field Of Freedom’ di Lembah Bekaa dan disifatkan antara gelanggang futsal istimewa serta pernah dibangunkan KBS bagi kemudahan riadah belia Syria di sini.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan MyCorps, 75 peratus pelarian yang menghuni Kem Al Awdah, Lembah Bekaa terdiri daripada belia. Justeru, pembinaan gelanggang futsal ini dilihat relevan dengan kehendak dan keperluan golongan belia di sini,” katanya.

Beliau berkata, dengan pembukaan gelanggang futsal itu, pelarian belia Syria mempunyai satu ruang atau kawasan bersih, selamat dan selesa untuk beriadah.

Selain gelanggang futsal, MyCorps turut menyediakan tiga kemudahan lain iaitu MyCorps Play Center (MPC), MyCorps Cyber Lab (MCL) dan kursus menjahit khusus untuk kanak-kanak dan wanita atau ibu tunggal.

“MPC contohnya dibina menggunakan konsep karavan yang terletak di sebuah kem persendirian pelarian Syria di Ta’labaya bagi memudahkan ia dialihkan dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Pembinaan MPC ini bertujuan menyediakan kemudahan kondusif untuk pembelajaran dan aktiviti kanak-kanak berusia enam tahun hingga 12 tahun,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata, MCL dan kursus menjahit pula bertujuan menyediakan belia dan ibu tunggal pelarian Syria dengan kemahiran vokasional bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran yang boleh dijadikan punca pendapatan pada masa akan datang.

“Menariknya, menerusi program ini, ia dapat membantu pelarian Syria memperoleh sijil kemahiran vokasional yang diiktiraf kerajaan Lubnan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada mereka kelak.

“Pada masa sama, pelbagai program dianjurkan MyCorps di kem pelarian Syria seperti kelas bahasa, sokongan psiko-sosial, kebersihan oral dan pelbagai program lain dalam usaha membantu pelarian Syria membina semula kehidupan mereka,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini, semua kemudahan itu mendapat sambutan baik dalam kalangan pelarian Syria khususnya di kawasan kem pelarian berhampiran.

“Malah sepanjang proses pemindahan barangan dan pembuatan mural, sebahagian pelarian Syria turut membantu mengangkat barang sekali gus memudahkan kerja pembinaan kemudahan dilakukan.

“Saya berharap dengan adanya kemudahan ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu meringankan beban pelarian Syria yang sememangnya memerlukan bantuan daripada negara luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:28 AM