ANGGOTA bomba berusaha mencari lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Bukit Beruntung selepas bot dinaiki terbalik.
ANGGOTA bomba berusaha mencari lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Bukit Beruntung selepas bot dinaiki terbalik.
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing selepas sampan dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di Sungai Bukit Beruntung, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 2 pagi di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, ketika kejadian, mangsa Zulkifli Basir, 38, bersama seorang rakannya menaiki sampan di sungai itu untuk menjala ikan manakala seorang lagi menunggu di tebing.

Bagaimanapun katanya, sampan dinaiki tiba-tiba terbalik dan mangsa terus dihanyutkan arus.

“Rakan yang bersama mangsa dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok namun mangsa hanyut dibawa arus deras,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Taman Kayu Ara Indah, Petaling Jaya ke sungai berkenaan pada jam 11 malam.

Katanya, dua rakan mangsa cuba mencarinya namun tidak berhasil hinggalah keluarga mangsa memaklumkan kepada polis pada jam 10.40 pagi semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bersama lapan anggota polis dengan bantuan 13 anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

“Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang ini (semalam) usaha mencari tidak menemui sebarang petunjuk dan operasi terpaksa dihentikan seketika dan disambung semula pagi esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:27 AM