MANGSA diberi rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital.
MANGSA diberi rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital.
Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: “Saya terkejut melihat mangsa yang berlumuran darah menjerit meminta tolong menyebabkan saya dan beberapa penduduk mengejar suspek, tetapi dia melarikan diri.”

Begitu kata Tan Kok Hoe, 43, jiran kepada dua beranak yang mengalami kecederaan parah akibat ditetak dan ditikam dalam kejadian samun di rumah di Taman Harapan, Kuala Kedah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa, Ardiana Ahmad Kamil, 45, parah di perut, manakala anak perempuannya, Nur Amira Asaari, 22, cedera di dada, tangan kiri serta retak tulang lengan kiri.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai jurujual di bandar raya ini hanya tinggal berdua di rumah berkenaan ketika kejadian.

Tan yang bekerja sebagai nelayan berkata, dia dikejutkan isterinya apabila terdengar jeritan jiran mereka yang meminta pertolongan lalu pergi ke rumah mangsa untuk memeriksa.

“Saya terkejut melihat gadis berlumuran darah di luar pintu pagar rumahnya, manakala ibunya cedera di perut dan rebah dalam bilik air.

“Kami berlari mengikut pintu belakang untuk mengejar perompak terbabit, namun dia sudah melarikan diri. Saya menghubungi anggota sukarelawan yang menetap di taman ini bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Sumber berkata, dalam kejadian itu, Nur Amira tidur di dalam bilik sebelum terkejut mendapati seorang lelaki duduk di atas badannya menyebabkan dia bergelut dengan suspek.

“Suspek mencekik leher mangsa lalu menekup tepi kepalanya dengan bantal serta mengarahkannya tidak bising. Suspek mengacukan objek ke arah mangsa menyebabkan mangsa menepis dengan tangan kiri menyebabkan tangannya cedera.

“Dalam kelam-kabut, suspek dipercayai menikam dada mangsa dengan satu objek dan ibu mangsa yang tidur di ruang tamu melihat apa yang berlaku selepas mendengar bunyi bising dalam bilik anaknya sebelum ditikam pada perut,” katanya.

Sumber itu menambah, mangsa yang melihat ibunya terbaring di depan pintu bilik keluar melalui pintu depan rumah dan meminta pertolongan jiran dan sempat menghubungi tunangnya meminta pertolongan.

Dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang.

“Ibu mangsa cedera di perut dan dilaporkan kritikal manakala anaknya yang luka di dada serta tangan kiri menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Polis menjejaki suspek dan senjata digunakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 459 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah hingga menyebabkan kecederaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:18 AM