KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Gopeng berhampiran Taman Changkat Golf, Gopeng.
KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Gopeng berhampiran Taman Changkat Golf, Gopeng.

Gopeng: Dua lelaki termasuk seorang remaja maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 17 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, berhampiran Taman Changkat Golf, di sini, petang semalam.

Kemalangan jam 3.30 petang turut mengakibatkan dua lagi mangsa yang menaiki kenderaan sama cedera, manakala pemandu sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan kereta Proton Wira dan Toyota Camry yang bertembung.

“Proton Wira itu dinaiki empat sekeluarga berasal dari Kampar iaitu R Eruthaya Nathan, 49, (pemandu) bersama isterinya, C Philomen, 44, serta dua anak mereka, Daniel Martin, 21 dan Desmand, 18, manakala Camry pula dipandu Law Hao Lin, 19, yang beralamat di Ipoh.

“Berpandukan siasatan awal mendapati kereta Camry datang dari Kampar ke Ipoh dan apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba Proton Wira yang dari arah bertentangan masuk ke laluannya.

“Pemandu remaja itu cuba mengelak namun gagal kerana jarak terlalu dekat dan terlanggar pada bahagian kiri Proton Wira,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, kedua-dua anak pemandu Proton Wira berkenaan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suami isteri terbabit mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:07 AM