KEADAAN rumah kongsi pekerja yang hancur dilanda hakisan lumpur dari bukit berhampiran di Jalan Gua Musang-Lojing.
KEADAAN rumah kongsi pekerja yang hancur dilanda hakisan lumpur dari bukit berhampiran di Jalan Gua Musang-Lojing.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Sebuah rumah kongsi menempatkan 30 pekerja balak hancur dan tiga kenderaan termasuk dua jentera berat terbenam dalam lumpur, susulan tanah runtuh di kawasan betau balak dekat Tanah Tinggi Lojing, di sini, petang kelmarin.

Kejadian itu turut mengakibatkan laluan Kilometer 97 Jalan Gua Musang-Lojing ditutup dua jam kerana lumpur dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Jalan dibuka semula pada jam 6.30 petang kelmarin.

Tukang masak di rumah kongsi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Sarimah, 40-an, berkata, dia tiba di rumah kongsi itu kira-kira jam 4 petang, namun meninggalkan premis tergesa-gesa selepas melihat air turun dari bukit berhampiran.

“Limpahan air merempuh rumah kongsi dan kawasan sekitar. Mujurlah tiada pekerja dan saya juga sempat melarikan diri,” katanya.

Pemandu jentera berat dikenali Chong, 50-an, pula memberitahu menerima maklumat kejadian itu jam 6 petang dan segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan sebenar.

Katanya, dia sebelum itu berada di rumahnya dan ke sana untuk membantu kerja pembersihan.

“Sehingga pagi ini (semalam) kami bersama-sama bergotong-royong membersihkan jalan itu bagi mengelakkan bahaya kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:40 AM