SUV Honda CRV dinaiki mangsa terbakar di KM 85 Jalan Gua Musang-Lojing, semalam. FOTO ihsan polis.
SUV Honda CRV dinaiki mangsa terbakar di KM 85 Jalan Gua Musang-Lojing, semalam. FOTO ihsan polis.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kejadian kereta terbakar di Jalan Gua Musang-Lojing semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dipercayai berpunca enjin mudah panas ketika laluan berbukit.

Dalam kejadian terbaru petang semalam, suami isteri terselamat apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Kilometer 85 Jalan Gua Musang-Lojing.

Che Yusoff Sulaiman, 61, dan Nurul Awanis Mohammad, 36, berasal dari Pasir Tumbuh, Kota Bharu sempat keluar dari kenderaan itu sebelum ia hangus.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku pada 2.30 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Gua Musang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi tiba-tiba enjin SUV dinaiki mereka berasap sebelum pemandu memberhentikan kenderaan.

Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan selekoh satu lorong dan menuruni bukit tidak jauh dari lokasi tanah runtuh di Lojing dan mereka sempat keluar menyelamatkan diri.

"Kejadian kereta terbakar di jalan terbabit kerap berlaku sejak kebelakangan ini dipercayai enjin kereta terlalu panas melalui jalan berbukit.

"Susulan itu, pengguna jalan ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memberhentikan kenderaan apabila keadaan enjin panas.

"Sebelum ini sudah dua kenderaan terbakar di jalan itu dan rangka kereta masih ditinggalkan di lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 10:13 AM