MOHD Fadzil bersama replika cek RM60,000 selepas diumumkan juara Pertandingan Memancing Putrajaya 2017.
MOHD Fadzil bersama replika cek RM60,000 selepas diumumkan juara Pertandingan Memancing Putrajaya 2017.
Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Dalam tempoh 13 minit memancing, seorang kakitangan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menaikkan ikan seberat 10.6 kilogram (kg), sekali gus diumumkan tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM60,000.

Mohd Fadzil Aziz, 34, yang juga bapa kepada dua anak menaikkan ikan temoleh itu jam 8.13 pagi pada Pertandingan Memancing Putrajaya 2017 di pesisiran Tasir Putrajaya, Presint 4, di sini anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Bercerita mengenai kemenangannya itu, Mohd Fadzil berkata, ini kali pertama dia memenangi pertandingan walaupun banyak kali menyertai pelbagai program dan acara memancing.

“Saya hanya menggunakan umpan cacing. malah agak sukar sebenarnya untuk menaikkan ikan itu disebabkan saiznya yang besar sedangkan joran digunakan sesuai untuk ikan bersaiz kecil.

“Dengan menggunakan teknik yang betul, saya berjaya mengawal ikan itu serta menaikkannya ke darat dan kemudian meneruskan aktiviti memancing,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Nor Adam.

Hadir sama, Presiden PBPM, Datuk Dr Hassan Yusoff dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berkata, dia berniat menggunakan wang tunai yang dimenangi untuk menunaikan umrah bersama ibunya.

“Itu niat saya sejak memasuki pertandingan ini, malah ia juga akan digunakan untuk peruntukan dan keperluan lain.

“Semasa naik ke pentas menerima hadiah, terasa gementar dan kaki saya menggigil kerana tidak pernah memenangi hadiah wang tunai sebanyak ini,” katanya.

Bagi tempat kedua, Muhd Naim yang memenangi hadiah wang tunai RM15,000 selepas menaikkan ikan temoleh seberat 7.51kg manakala tempat ketiga diraih Md Yusof Omar yang membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 selepas menaikkan ikan temoleh seberat 6.98kg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 8:58 AM