PENGUNJUNG berpeluang mendapatkan pelbagai info berkaitan hutan.
PENGUNJUNG berpeluang mendapatkan pelbagai info berkaitan hutan.
PINTU masuk Hutan Simpan Bukit Nanas.
PINTU masuk Hutan Simpan Bukit Nanas.
Mahaizura Abd Malik dan Nor 'Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Melangkah masuk di Hutan Simpanan Kekal Bukit Nanas (HSKBN) akan membuatkan seolah-olah berada di pintu masuk hutan tropika kerana banyak keistimewaan di hutan itu yang boleh diteroka.

Dengan adanya hutan itu, tidak perlu lagi bersusah payah pergi ke taman negara semata-mata untuk merasai pengalaman sebenar berada dalam hutan yang semuanya boleh diperoleh di HSKBN, di sini.

Pandangan mata pasti terpukau melihat keindahan hutan dara berusia 110 tahun ini, selain tidak menyangka ada hutan asli di tengah ibu kota yang masih terpelihara di samping menyimpan 223 spesies kepelbagaian flora dan dua kumpulan fauna terdiri daripada mamalia serta burung.

HSKBK yang diuruskan sepenuhnya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia turut dikenali sebagai Taman Eko Rimba Kuala Lumpur.

Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, usaha pemuliharaan HSKBN dilakukan sejak 1906 sehingga kini secara berterusan untuk kelestarian khazanah alam itu sebagai hutan simpan kekal.

“Pada 1950, hutan ini diwartakan sebagai hutan dara dan kemudian diwartakan menjadi tempat riadah masyarakat kawasan sekitar.

“Terkini, mewartakan HSKBN sebagai hutan pelajaran, pembelajaran dan penyelidikan menjadikan fungsi lebih meluas,” katanya.

Katanya, bagi tujuan penyelidikan, HSKBN dijadikan tempat kajian kepada penuntut institusi pengajian tinggi tetapi mengikut peraturan ditetapkan.

Namun begitu katanya, pembangunan turut dilakukan di hutan itu sebagai nilai tambahan kepada HSKBN seperti pembinaan Titian Silara atau Canopy Walk yang siap dibina pada 2014, selain menjadi tarikan utama hutan berkenaan meskipun kewujudannya masih kurang diketahui umum.

Ag Shaffie berkata, kemudahan sepanjang 200 meter dengan ketinggian 18 meter dari tanah itu mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dirasai semua khususnya penduduk dari ibu kota sebagai satu pilihan tempat beriadah.

“Berada di Titian Silara membolehkan pengunjung menikmati pemandangan cantik HSKBN dari atas selain dapat merasai dan menyentuh daun-daun atau silara pokok yang tidak dapat disentuh secara biasa.

“Daripada titian ini, boleh berjalan masuk ke dalam denai hutan yang seterusnya menghubungkan laluan ke Menara Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan dengan HSKBN,” katanya.

Katanya, paling penting ialah Titian Silara sangat mesra orang kurang upaya (OKU) terutam kepada pengguna kerusi roda.

Beliau berkata, selain itu turut disediakan Galeri Pusat Maklumat Perhutanan menyediakan maklumat yang membolehkan pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai HSKBN.

“Kita juga masih menjalankan program kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan hutan kepada manusia dan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Artikel 74 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, hutan dan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, berbeza di Wilayah Persekutuan, dua elemen berkenaan adalah di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:15 AM