CAPONY Walk antara tarikan di Bukit Nanas.
CAPONY Walk antara tarikan di Bukit Nanas.

Kuala Lumpur: Diberi gelaran sebagai ‘green lung’ atau jantung hijau, Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bukit Nanas atau lebih dikenali sebagai Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) berperanan yang penting kepada masyarakat dan alam sekitar di Kuala Lumpur.

Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, hutan berkenaan adalah satu-satunya hutan asli berstatus hutan dara yang masih wujud di tengah bandar raya bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi mungkin di dunia.

Menurutnya, HSK Bukit Nanas sudah berusia 110 tahun berdasarkan tarikh pewartaannya sejak 1906. Ketika itu, ia berkeluasan 17 hektar, tetapi kini hanya berbaki 9.37 hektar.

“Keluasan Hutan Simpanan Kekal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya 68.27 hektar atau 0.2 peratus daripada keluasan tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kewujudan hutan bandar turut mempengaruhi iklim setempat yang menjadikan kawasan sekitarnya agak sejuk berbanding tempat lain yang jauh dari hutan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, ini kerana hutan bandar itu menjalankan pelbagai fungsi ekosistem hutan yang penting antaranya proses fotasintesis yang membekalkan oksigen untuk keperluan hidupan seperti manusia.

Katanya, apabila memasuki hutan berkenaan seolah berada di dalam ‘kolam oksigen’ kerana dikelilingi pokok yang diketahui menjalankan proses fotosintesis untuk menghasilkan banyak oksigen berbanding berada jauh dari kawasan hutan.

Beliau berkata, udara yang sihat lagi menyegarkan menjadikan persekitaran HSK Bukit Nanas lebih sejuk dan nyaman sesuai untuk aktiviti riadah dan beristirehat.

“Sebanyak 223 atau 8.4 peratus spesies pokok direkodkan di hutan ini yang berkeluasan hanya 9.37 hektar berbanding 2,650 spesies pokok direkodkan di Malaysia,” katanya.

Katanya, berdasarkan tinjauan hidupan liar yang dijalankan di TERKL, sebanyak 12 spesies mamalia dan 25 spesies burung yang menghuni hutan ini direkodkan.

“Untuk spesies mamalia, sebanyak enam spesies kelawar, dua primat, tiga spesies tikus dan tupai serta satu spesies musang.

“Terdapat 25 spesies burung daripada 18 keluarga burung yang dilindungi sepenuhnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,”katanya.

Katanya lagi, di HSK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah tiga lagi HSK iaitu Hutan Simpan Sungai Besi berkeluasan 42.29 hektar, Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan (2.1 hektar) dan Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh (14.51 hektar).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 6:46 AM