ANGGOTA polis menahan dan memeriksa motosikal menerusi  Op Samseng Jalanan.
ANGGOTA polis menahan dan memeriksa motosikal menerusi Op Samseng Jalanan.
myMetro

Georgetown: Lagak ngeri dan aksi berbahaya yang cuba dipertontonkan ratusan mat rempit di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Nibong, di sini, awal pagi semalam, terbantut apabila dikepung sebelum ditahan polis.

Dalam operasi jam 3 pagi itu, golongan mat rempit berkumpul beramai-ramai dan mempamerkan aksi berbahaya untuk menguji kekuatan jentera mereka.

Perbuatan mereka dikesan sejak beberapa minggu lalu dan polis yang menerima aduan daripada pengguna jalan raya mengatur strategi ‘menggempur’.

Hasilnya, 256 mat rempit ditahan dalam operasi dilakukan sepasukan polis cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) yang mengepung dan menutup semua laluan keluar digunakan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya membuat sekatan jalan di atas jejambat menghala ke Bayan Lepas jam 3.30 pagi dalam usaha menahan golongan samseng jalanan berkenaan.

Beliau berkata, beberapa sekatan turut diadakan termasuk berhampiran Tapak Pesta Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:19 AM