REMAJA yang ditahan bersama motosikal kerana merempit.
REMAJA yang ditahan bersama motosikal kerana merempit.

Segamat: Lagak ngeri sekumpulan 41 mat rempit berusia 14 hingga 27 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti ‘wheelie dan wekang’, membawa padah apabila ditahan polis dalam operasi khas di Kilometer 3, Jalan Genuang ke Labis, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, operasi khas selama empat jam bermula 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi itu disertai 30 anggota polis termasuk dari cawangan trafik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi membanteras aktiviti lumba haram.

“Semua 41 individu yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai cukai jalan dan lesen, tidak memiliki perlindungan insurans dan melakukan pengubahsuaian ekzos hingga mengeluarkan bunyi bising,” katanya, semalam.

Katanya, semua yang ditahan turut diberikan kaunseling bagi memberi kesedaran akan tindakan bahaya mereka ketika menunggang secara berbahaya di jalan raya.

Mengulas mengenai operasi itu, katanya, anggota trafik bersembunyi di dalam semak berhampiran sekitar lokasi tanpa disedari mat rempit berkenaan.

“Ketika itu, banyak aksi berbahaya dan lagak ngeri dilakukan kumpulan penunggang motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha RXZ termasuk secara meniarap di atas tempat duduk, selain menunggang dalam keadaan samar dengan sengaja tidak menghidupkan lampu hadapan.

“Mereka juga dikesan memandu dalam keadaan laju dan berulang-alik sejauh kira-kira 10 kilometer dengan memakai topi keledar secara terbalik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:44 AM