AZIH beramah mesra dengan sebahagian penjawat awam KADA pada Majlis Penerangan Isu Semasa Penjawat Awam.
AZIH beramah mesra dengan sebahagian penjawat awam KADA pada Majlis Penerangan Isu Semasa Penjawat Awam.
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak menggunakan pendekatan secara ugutan atau tekanan kepada kerajaan dalam memenuhi tuntutan bonus untuk penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tetap kekal dengan permintaan supaya kerajaan menimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada warga penjawat awam walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu masa ini.

“Saya fikir kerajaan sebagai majikan memahami apa yang dirasai penjawat awam terutama sekali kumpulan berpendapatan 40 peratus rendah (B40) yang hari ini tertekan dengan kos sara hidup yang melonjak tinggi termasuk kenaikan harga barang dalam pasaran.

“Harapan seluruh warga penjawat awam kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus dalam pembentangan Bajet 2017 dijangka pada 21 Oktober ini,” katanya selepas Majlis Penerangan Isu Semasa Penjawat Awam di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Lundang, di sini, semalam.

Menurutnya, sekiranya kerajaan tidak memberikan bonus ini dengan alasan ekonomi dan sebagainya, rakyat yang di bawah termasuk penjawat awam pasti berasa kecewa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 6:28 AM