ADNAN (tengah) bersama sebahagian perwakilan yang hadir pada Persidangan Perwakilan Tri Tahunan CUEPACS Negeri Sembilan. FOTO Mohd Amin Jalil.
ADNAN (tengah) bersama sebahagian perwakilan yang hadir pada Persidangan Perwakilan Tri Tahunan CUEPACS Negeri Sembilan. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan bonus kepada penjawat awam melalui pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan, 7 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bonus minimum sekurang-kurangnya sebulan gaji.

Katanya, perkara itu perlu menjadi antara fokus pada pembentangan bajet kali ini memandangkan penjawat awam kini berdepan dengan kenaikan harga barang makanan.

Katanya, walaupun kerajaan sudah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) baru-baru ini, namun pihaknya merayu kepada kerajaan untuk memberikan bonus kerana sudah 11 tahun penjawat awam tidak diberikan bonus.

"Kami sudah melaksanakan tugas sebaik mungkin dari segi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat termasuk ketika 9 Mei 2018 (pilihan raya) dan 1 Februari 2020 (pertukaran kerajaan).

"Kami terus kekal memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

"Malah, kami menjadi orang hadapan dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan bencana alam, selain menjaga ketenteraman negara ini, jadi kami harap kerajaan pertimbangkan pemberian bonus walaupun BKK sudah diumumkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Cuepacs Negeri Sembilan Sesi 2022-2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agong Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin dan Pengerusi Cuepacs Negeri Sembilan, Muhammad Baddri Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:40 PM