PEGAWAI DBKL memeriksa pekerja gerai makanan ketika operasi.
PEGAWAI DBKL memeriksa pekerja gerai makanan ketika operasi.
  Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran DBKL, Pushpagaran Munusamy memeriksa persekitaran gerai makanan ketika operasi kesihatan dan kebersihan DBKL di sekitar Jalan Telawi, Bangsar.
Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran DBKL, Pushpagaran Munusamy memeriksa persekitaran gerai makanan ketika operasi kesihatan dan kebersihan DBKL di sekitar Jalan Telawi, Bangsar.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Keadaan premis yang kotor serta kehadiran lipas menyebabkan dua restoran di Jalan Telawi di sini, diarah tutup 14 hari bermula semalam manakala 22 restoran lagi dikenakan kompaun selepas gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKL Chandrakant Patel berkata, restoran itu diarah tutup selepas gagal mencapai tahap kebersihan ketika Op Bersih dijalankan malam kelmarin dengan 34 premis diperiksa.

“Restoran itu gagal memastikan kebersihan premis apabila lantainya kotor dan kehadiran lipas menyebabkan penguat kuasa mengeluarkan Notis Perintah Penutupan Premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Keadaan restoran yang kotor bukan hanya menimbulkan perasaan tidak selesa malah mendedahkan pelanggan dengan penyakit demam kepialu dan keracunan makanan,” katanya dalam Op Bersih di sini, semalam.

Dalam tempoh penutupan itu, Chandrakant berkata, pemilik restoran itu dikehendaki melakukan pembersihan sehingga menepati piawaian ditetapkan Jabatan Kesihatan DBKL.

“Kami akan melakukan pemeriksaan semula di restoran berkenaan selepas seminggu dan pemilik dibenarkan memulakan operasi semula jika Jabatan Kesihatan DBKL berpuas hati dengan tahap kebersihan restoran.

“Kita ingin menasihati pengguna supaya menggunakan hak mereka untuk memilih restoran yang bersih bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

Mengenai 22 restoran yang dikenakan kompaun, menurut beliau, semua premis berkenaan melanggar beberapa kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1979.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 7:28 AM