LANTAI dinding kawasan penyediaan makanan hitam berdaki dan berminyak selain diselaputi lemak di sebuah pasar raya di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur yang dikesan pihak DBKL dalam pemeriksaan, semalam. FOTO Ihsan DBKL
LANTAI dinding kawasan penyediaan makanan hitam berdaki dan berminyak selain diselaputi lemak di sebuah pasar raya di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur yang dikesan pihak DBKL dalam pemeriksaan, semalam. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dinding dan lantai kotor, lipas berkeliaran serta sisa darah dilepaskan ke longkang awam. Demikian keadaan sebuah pasar raya di Jalan Hang Lekiu di sini yang diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Pemeriksaan Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL ke atas premis itu mendapati lantai dan dinding kawasan daging, ikan dan sayur dalam keadaan kotor dan berminyak selain diselaputi lemak.

Jurucakap DBKL berkata, pemeriksaan dilakukan lima pegawai kesihatan itu turut mendapati pekerja premis perniagaan itu tidak menerima suntikan tifoid.

Katanya, premis itu juga tidak mempunyai perangkap minyak dengan semua air cucian termasuk sisa serta darah daripada aktiviti memotong dan menyiang ikan dan ayam dari premis dialirkan masuk ke dalam longkang awam.

"Terdapat lipas di setiap bahagian premis termasuk pada perkakasan, peralatan serta kabinet. Peralatan yang digunakan dalam penyediaan makanan juga tidak dijaga bersih, tidak diselenggara dengan baik dan dalam keadaan kotor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, secara keseluruhannya, premis itu didapati gagal untuk mematuhi semua kehendak kesihatan ditetapkan sebagai premis yang menjalankan perniagaan menyedia dan memproses makanan.

Justeru itu, notis Perintah Penutupan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 28(1) Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 dikeluarkan berkuat kuasa hari ini.

"Premis diarahkan tutup selama tujuh hari dan jika lawatan susulan berpuas hati dengan tahap kebersihan, premis dibenarkan beroperasi tetapi jika masih tidak memuaskan maka arahan tutup dilanjutkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 3:20 PM