PENGAWAL keselamatan mengawal lalulintas bagi membantu murid ke sekolah dengan selamat. FOTO arkib NSTP
PENGAWAL keselamatan mengawal lalulintas bagi membantu murid ke sekolah dengan selamat. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Pendidikan sudah mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian untuk mengadakan pertemuan dalam segera dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berbincang kaedah terbaik menangani isu kemalangan dan keselamatan murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, perbincangan itu termasuk mengenal pasti sekolah yang berada di lokasi berisiko tinggi kemalangan di seluruh negara.

"Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan menyambut baik dan mengalu-alukan tawaran KDN khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri untuk menggunakan khidmat RELA bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah berikutan peningkatan kemalangan membabitkan murid.

"Kementerian Pendidikan mengingatkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta semua sekolah untuk mematuhi arahan terkandung dalam surat pekeliling berkaitan yang dikeluarkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tawaran Ahmad Zahid berhubung khidmat anggota RELA bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah untuk mengelak risiko kemalangan maut membabitkan pelajar.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, perkara itu boleh dibincangkan oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan RELA.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia semasa di New York bagi mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 9:39 PM