ABDUL Halil
ABDUL Halil
 NABIHA menyiram air pada pusara  suaminya  di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas.
NABIHA menyiram air pada pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib, 70, yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles, di sini, jam 10 malam kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang, selepas solat Zuhur semalam.

Menurut laman Facebook rasmi JKDM, Allahyarham yang sebelum ini mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kanser hati.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamil Huda, Kampung Melayu Ampang.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pemergian Allahyarham kehilangan besar dalam jabatan berkenaan berikutan banyak jasa serta keringat dicurah dalam meningkatkan mutu JKDM.

“Allahyarham seorang yang peramah dan berdedikasi serta mempunyai banyak pengalaman kerana sebelum itu sudah menjawat pelbagai jawatan penting.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya dua bulan lalu ketika menziarahinya di rumah kerana sakit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khazali mewakili seluruh warga JKDM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Halil, yang meninggalkan isteri Puan Sri Nabiha Mahmur dan tiga anak.

Allahyarham juga bekas Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), selain memegang beberapa jawatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:22 AM