Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Peniaga yang didapati memperdayakan orang ramai dengan menjual ayam daging warna sebagai ayam kampung asli boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana ia boleh memperdayakan pengguna untuk membayar bekalan makanan itu dengan harga lebih mahal.

“Setakat ini, belum ada aduan rasmi yang diterima daripada orang ramai namun sekiranya ada (aduan) kelak, kami akan rujuk kes berkenaan dengan Jabatan Veterinar sebelum mengambil tindakan lanjut mengikut akta sedia ada.

“Orang ramai diminta lebih berhati-hati ketika membeli bekalan makanan harian dan jangan terpedaya dengan tawaran yang mengelirukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Rosik mengulas laporan Harian Metro Rabu lalu mengenai dakwaan Pensyarah Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Azhar Kasim bahawa hampir 90 peratus ayam kampung yang dijual di pasaran adalah tiruan.

Menurut Azhar, ia sebenarnya ayam daging warna atau disebut sebagai ayam kampung kacuk, sekali gus menyebabkan pengguna terpedaya membeli pada harga yang mahal.

“Kebanyakan pemborong mendakwa ayam daging warna adalah ayam kampung asli dan dijual dengan harga sekitar RM15 hingga RM25 sekilogram.

“Sedangkan harga asal ayam daging warna hanya RM6.50 sekilogram, tetapi ia dijual sama dengan ayam kampung asli.

“Mereka (pemborong) juga menukar nama dengan meletakkan nama ayam kampung kacukan. Walhal ayam daging warna adalah sama seperti ayam daging komersial biasa,” katanya.

Tambah Azhar lagi, nama ayam kampung kacukan tidak sepatutnya digunakan kerana ia mengelirukan pengguna.

“Tambahan pula, dengan menggunakan nama ayam kampung, pemborong terlepas daripada kawalan harga siling,” katanya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib ketika dihubungi turut mengakui pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan pensyarah itu.

“Kami sedang mengumpul maklumat berkaitan, namun sehingga hari ini, tiada aduan berhubung penipuan ayam kampung kacuk yang dilaporkan oleh orang ramai,” katanya.

Sementara itu, mengikut kesalahan Akta Perihal Dagangan 2011, peniaga (perseorangan) boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Bagi sesebuah pertubuhan, denda yang dikenakan adalah RM250,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:20 AM