RUMAH Norieen di Kampung Penad yang sunyi sejak Mei lalu.
RUMAH Norieen di Kampung Penad yang sunyi sejak Mei lalu.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Genap setahun tragedi tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini hilang selama 43 hari di hutan berlalu, dua mangsa yang ditemui selamat dalam kejadian itu masih belum bersekolah.

Miksudiar Aluj, 12, mendakwa ibunya tidak membenarkannya ke sekolah atas faktor keselamatan manakala Norieen Yaakob, 11, terus berada di Kuala Lumpur bersama ibu saudaranya kerana masih trauma.

Miksudiar ketika ditemui berkata, dia mahu bersekolah bersama rakannya yang lain namun masih tidak dibenarkan oleh ibunya kerana bimbang dengan keselamatannya.

Katanya, sehingga kini ibunya, Rosita Bahel, 43, belum memberi kata putus berhubung perkara itu.

“Saya rindukan rakan sekolah dulu namun tidak mahu lagi ke sekolah lama kerana masih trauma dengan kejadian yang menyebabkan empat rakan mati biarpun sudah setahun ia berlalu.

“Setiap hari, saya hanya berkurung di rumah saja kerana ibu tidak memberi kata putus ke sekolah mana yang perlu saya pergi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dalam kejadian 23 Ogos 2015, tujuh murid SK Tohoi, Miksudiar, Norieen, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, Juvina David, 7, Ika Ayel, 9, dan Sasa Sobrie, 8, dipercayai lari dari asrama sekolah itu sebelum dilaporkan hilang.

Bagaimanapun hanya Miksudiar dan Norieen ditemui selamat di bawah akar kayu di tepi Sungai Perias, di sini manakala Haika, Linda, Juvina dan Ika ditemui mati. Seorang lagi mangsa iaitu Sasa masih belum ditemui sehingga hari ini.

Susulan kejadian itu, hampir 100 murid SK Tohoi yang tinggal di Kampung Penad dan Gawin dihalang ibu bapa masing-masing untuk hadir ke sekolah kerana bimbang kejadian serupa berulang lagi.

Sementara itu, bapa saudara Miksudiar, Akek Bahel, 47, berkata, dia akan berusaha memujuk adiknya, Rosita supaya menghantar semula Miksudiar ke sekolah bagi mengelakkan keciciran pelajaran.

“Miksudiar memang bersedia dan tiada masalah untuk ke sekolah pada bila-bila masa asalkan bukan di SK Tohoi.

“Saya akan cuba memujuk ibunya supaya menghantar anaknya ke sekolah segera kerana sudah setahun kejadian itu berlaku namun Miksiduiar masih belum ke sekolah dan ia boleh menjejaskan masa depannya,” katanya.

Dalam pada itu, ibu Norieen, Midah Angah, 41, berkata, anaknya kini tinggal bersama ibu saudaranya di Kuala Lumpur sejak Mei lalu kerana masih trauma dengan kejadian itu.

“Norieen tidak boleh tinggal di rumah di Kampung Penad kerana menangis setiap malam teringatkan adiknya Haikal yang maut dalam kejadian berkenaan.

“Saya tidak halang untuk anak ke sekolah semula. Kalau boleh bagilah dia sekolah lain sekitar bandar Gua Musang dan sediakan asrama untuknya supaya dia dapat belajar dalam keadaan tenang serta selamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Muhammad Zahari Othman berkata, Jabatan Pendidikan Kelantan tidak pernah menghalang mereka memilih sekolah yang dimahukan.

“Kita pun faham keadaan mereka berdua selepas kejadian itu dan terpulanglah kepada ibu bapa murid terbabit untuk hantar ke sekolah bila-bila masa kerana kita sedia uruskan.

“Bagi murid lain di kedua-dua kampung itu sebilangan besarnya sudah bersekolah semula termasuk di SK Tohoi dan Kuala Betis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:47 AM