Che Rozan  (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Miksudiar di  HRPZ II, semalam.
Che Rozan (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Miksudiar di HRPZ II, semalam.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: “Saya tak sabar nak kembali ke sekolah kerana rindukan kawan-kawan,” kata Miksudiar Aluj, 11, kanak-kanak Orang Asli yang ditemui selamat di dalam hutan bersama seorang lagi rakan, Norieen Yaakob, 10, selepas melarikan diri dari asrama Sekolah Kebangsaan Tohoi 23 Ogos lalu bersama lima rakan lain.

Dia yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejak 11 hari lalu berkata, dia tidak sabar mahu berjumpa dengan rakan dan meneruskan pembelajaran.

Anak ketujuh daripada 11 adik beradik itu juga kelihatan semakin baik apabila berat badannya naik sebanyak lima kilogram (kg) iaitu daripada 15kg kepada 20kg.

“Saya juga sudah sihat dan badan saya tidak lagi sakit. Setiap hari saya akan makan lima kali sehari kerana makanan di hospital sangat sedap.

“Saya harap dapat pulang ke rumah dengan cepat kerana mahu berjumpa ahli keluarga dan rakan,” katanya ketika ditemui di hospital selepas dikunjungi Pengerusi Puspanita Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Che Rozan Che Mahmood bersama 15 rombongan di sini, semalam.

Ketika ditanya sama ada dia masih ingat kejadian mereka melarikan diri di dalam hutan, Miksudiar enggan mengulas dan berkata, tidak mahu mengingati kisah itu.

Miksudiar dan Norieen ditemui masih hidup di dalam perdu pokok pada 9 Oktober lalu bersama mayat rakannya Ika Ayel, 9, selepas hilang selama 48 hari.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli dilaporkan hilang iaitu Miksudiar, Norieen, Ika, Linda Rosli, 8, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.

Sementara itu, ibu Norieen, Midah Angah, 40, berkata, dia amat gembira kerana anaknya dilihat semakin ceria dan kuat makan termasuk pada waktu malam.

Katanya, berat badan anak keenam daripada tujuh beradik itu juga bertambah iaitu daripada 15kg kepada 20kg dalam masa 10 hari.

“Walaupun sudah tidur, dia akan bangun pada tengah malam semata-mata untuk makan nasi. Sebab itu badannya cepat naik. Makan juga sering kali bertambah dan amat menggemari ayam.

“Perubahan Norieen membuatkan hati saya gembira dan berharap dia akan kembali sembuh seperti biasa termasuk bercakap. Setakat ini dia banyak mendiamkan diri kerana masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:37 AM