Orang ramai mengutip pelbagai jenis ikan di atas jalan raya di Jalan Sitiawan-Teluk Intan selepas lori ikan dari Sungai Besar terbalik.
Orang ramai mengutip pelbagai jenis ikan di atas jalan raya di Jalan Sitiawan-Teluk Intan selepas lori ikan dari Sungai Besar terbalik.

Teluk Intan: Seorang lelaki bersama isteri serta seorang anaknya berusia enam tahun berdepan detik cemas apabila lori muatan ikan yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Teluk Intan menghala Sitiawan, berhampiran Seberang Perak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira jam 2 petang, pemandu lori, Halim Sabran, 40, berkata, dia membawa lori muatan ikan kira-kira lima tan dari Sungai Besar, Selangor untuk dihantar ke Pulau Pinang.

Menurutnya, sebaik tiba di simpang empat di lokasi kejadian lori dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan ribuan ikan yang dibawa bertaburan
di jalan raya dan penduduk berhampiran yang menyedari kemalangan itu mula mengerumuni lokasi kejadian.

“Saya bersama isteri serta anak keluar dari lori melalui cermin tingkap yang pecah dan mendapati anak mengalami luka ringan di lututnya.

“Saya dan isteri tidak cedera sebelum isteri menemani anak ke klinik berhampiran untuk rawatan dengan pertolongan orang kampung, di sini,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, Halim berkata, dia hanya memandu dengan kelajuan sederhana sekitar 80 hingga 90 kilometer sejam kerana membawa isteri dan anaknya bersama.

“Saya percaya lori yang dipandu tergelincir akibat lelehan air ikan yang berlendir terkena pada tayar hingga menyebabkan lori dipandunya sukar dikawal sebelum terbabas dan terbalik.

“Penduduk berhampiran yang datang ke lokasi kejadian mengutip ikan yang bertaburan di atas jalan dan saya membenarkannya kerana keadaan ikan kebanyakannya sudah rosak dan terdedah pada kotoran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:09 AM