LOKASI kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja dan mencederakan dua anggota polis.
LOKASI kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja dan mencederakan dua anggota polis.
Muhammad Apendy Issahak dan Muhamad Izzat Nasuruden


Taiping: “Saya lihat lampu kereta meluru laju ke arah kami serta jeritan menyuruh kami lari dan saya sempat melompat ke besi penghadang di bahu jalan sebelum dentuman kuat kedengaran,” kata Muhammad Fikrie Abdul Aziz, 19.

Muhammad Fikrie menceritakan detik cemas kemalangan ngeri mengorbankan rakan baiknya ketika mereka membantu mengutip ikan yang bertaburan di atas jalan selepas sebuah lori terbalik di Kilometer 10.5, Jalan Taiping - Pantai Remis, berhampiran Kampung Kelubung, Trong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.35 pagi, rakannya, Muhammad Azizi Osman, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dirempuh sebuah kereta ketika melalui kawasan berkenaan yang juga selekoh selain turut merempuh dua anggota polis yang menjaga lalu lintas.

Menurut Muhammad Fikrie, sebelum kejadian, dia bersama arwah dan tiga lagi rakan sekampung ke lokasi lori muatan ikan terbalik itu untuk melihat dan membantu.

“Ketika itu kami melepak di kawasan berhampiran dan terdengar bunyi seretan tayar seperti kemalangan sebelum seorang rakan memberitahu lori ikan terbalik di selekoh berkenaan.

“Saya dan arwah kemudian menunggang motosikal bersama tiga rakan lain yang menunggang dua lagi motosikal ke lokasi kemalangan dan sebaik sampai kami lihat ikan bertaburan atas jalan sebelum membantu mengutip ikan itu selepas pemandu lori membenarkan kami mengambil ikan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, mereka gembira dapat mengutip ikan yang kemudian disertai beberapa rakan dan orang kampung namun selepas penuh ikan dalam dua plastik besar kami ingin beredar dan menunggang motosikal yang diletakkan di bahu kiri jalan di hadapan kereta polis.

“Ketika kami sampai kereta polis memang sudah ada dengan dua anggota mengawal lalu lintas kerana lori yang terbalik menghalang satu laluan.

“Ketika ingin beredar arwah sudah naik motosikal terlebih dulu bersama satu plastik ikan dan ketika saya hendak membonceng tiba-tiba kereta Volkswagen merempuh kereta polis sebelum merempuh arwah dan anggota polis yang berada berhampiran arwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 11:54 AM