CHEMPAKA Sari bersama anaknya yang direhatkan akibat keracunan makanan di kantin sekolah.
CHEMPAKA Sari bersama anaknya yang direhatkan akibat keracunan makanan di kantin sekolah.
Amrullah Abdul Karim


Bukit Beruntun: “Pada mulanya anak saya mengalami muntah dan cirit-birit sebelum demam panas sehingga dibawa ke hospital.

“Suhunya mencecah 40 darjah Celsius malah dia turut disahkan positif Typhidot (demam kepialu) selepas ujian darah dijalankan,” kata Chempaka Sari Anuar Din, 37.

Chempaka Sari ialah ibu kepada murid sebuah sekolah rendah di Sungai Choh, dekat sini, yang mengalami keracunan makanan dipercayai mengambil makanan tercemar di kantin sekolah itu, Rabu lalu.

Anak lelakinya yang berusia sembilan tahun dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Damansara, Khamis lalu dan dibenarkan pulang Ahad lalu.

Chempaka Sari berkata, pada awalnya dia menyangka hanya anaknya seorang mengalami masalah itu namun selepas dimaklumkan ibu bapa lain dia terkejut kerana terdapat 23 murid lain berdepan situasi sama.

Daripada jumlah itu, empat murid ditahan di wad hospital berhampiran, namun mereka dibenarkan keluar beberapa hari selepas dirawat.

Sementara itu, Mohd Izad Mohd Mofet, 34, berkata, anak sulungnya yang berusia lapan tahun demam panas tengah malam Rabu dan muntah serta cirit-birit pada awal pagi Khamis.

“Jam 4.30 pagi anak saya muntah dan cirit-birit sebelum saya bawa ke hospital swasta di Rawang dan doktor tahan dia kerana keadaannya pucat.

“Hasil ujian darah doktor mengesahkan 80 peratus simptom dialami berpunca daripada keracunan makanan,” katanya.

Suhaini Mohd Jamil, 42, berkata, dua daripada empat anaknya yang bersekolah di sekolah terbabit mengalami situasi sama dan dia mengesyaki masalah itu berpunca daripada makanan tercemar di kantin sekolah.

“Anak saya makan nasi ayam dan nasi lemak di kantin sekolah pada hari kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa kesal kerana pihak sekolah didakwa lambat dalam mengawal serta mengatasi masalah itu, malah kantin masih dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa siasatan menyeluruh dilakukan.

Ibu bapa mendakwa sehingga kelmarin pihak sekolah masih belum menghantar laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah sehingga memaksa laporan dibuat terus ke Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, sumber Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor mengesahkan menerima aduan berhubung kes itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam pada itu, sumber Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan turut mengesahkan terdapat murid mengalami cirit-birit dan tiga daripadanya dilaporkan serius, namun semuanya menerima rawatan di hospital dan dibenarkan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 9:20 AM