Lukanisman Awang Sauni. FOTO Arkib NSTP
Lukanisman Awang Sauni. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Cyberjaya: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan berlaku insiden keracunan makanan membabitkan 24 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya di sini pada 27 Julai lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata 24 murid itu mengalami simptom keracunan makanan seperti cirit-birit dan sekarang sudah sembuh serta kembali bersekolah.

"Mereka telah mendapat rawatan di klinik swasta berdasarkan siasatan yang kita jalankan," katanya tanpa mendedahkan sama ada sumber makanan daripada kantin membawa kepada punca keracunan makanan itu.

Laporan sebuah akhbar tempatan semalam mendakwa lebih 50 pelajar SK Cyberjaya mengalami simptom keracunan makanan seperti muntah dan cirit-birit selepas menjamah nasi lemak dan ayam goreng di kantin sekolah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program 'Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope' (MySAVE) di sini hari ini, Lukanisman berkata siasatan sedang dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk menutup kantin sekolah berkenaan sehingga 10 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 9:20 PM