Mohd Khamil (kiri) beramah mesra dengan Saw sambil diperhatikan Syed Faisal (dua dari kanan).
Mohd Khamil (kiri) beramah mesra dengan Saw sambil diperhatikan Syed Faisal (dua dari kanan).

Shah Alam: Bersempena memperingati sambutan 200 tahun Penang Free School (PFS), sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara itu akan melakukan pengembaraan darat dari Pulau Pinang ke Dittisham, United Kingdom bermula pertengahan bulan ini.

Ia merangkumi konvoi enam kenderaan pacuan empat roda membabitkan pemanduan sejauh 18,000 kilometer dalam tempoh 74 hari di seluruh benua Eropah dan Asia.

Upacara pelepasan konvoi itu dijadualkan berlangsung di PFS pada 18 Julai ini dan seramai 31 peserta dijangka tiba di South Hams, Devon pada 28 September depan.

Ketua projek pengembaraan epik itu Saw Sek Lam berkata, Dittisham dipilih kerana ia tempat kelahiran pengasas PFS dan dianggap satu penghormatan kepada keluarganya.

“Kembara merentasi Malaysia ke negara Eropah seperti Uzbekistan, Rusia, Perancis, Belgium dan Republik itu menggunakan kos dibiayai sendiri oleh ahli konvoi rata-ratanya bekas pelajar PFS atau ‘Old Frees’.

“Dalam konvoi lebih dua bulan itu, kami mungkin berdepan cabaran seperti cuaca dan kesesuaian makanan, namun berharap semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan oleh Kumpulan DRB-HICOM Berhad di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan DRB-HICOM Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan Pengarah Urusannya Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Tajaan yang diserahkan membabitkan peralatan penting seperti ‘tin jerry’ untuk menyimpan bahan api diesel, alat pengesan kedudukan global (GPS), khemah dan set walkie talkie.

Menurut Sek Lam, pihaknya sudah merancang projek khas itu sejak 2012 dan turut mengenal pasti faktor keselamatan peserta sepanjang kembara terbabit.

Mohd Khamil yang juga bekas pelajar PFS memuji usaha berkenaan kerana turut memberi inspirasi kepada pelajar generasi baru atau ‘Young Frees’.

“Bersesuaian dengan motto sekolah iaitu gagah dan setia, kembara itu akan menjadi pengalaman menarik dan menguji kecekalan selain membentuk semangat bersatu padu serta kekuatan mental dan fizikal peserta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:03 AM