SHUKRIE (kiri) bersama Mohd Khamil (kanan) dan Liow (dua kanan) melihat model pesawat ACE di tapak pameran.
SHUKRIE (kiri) bersama Mohd Khamil (kanan) dan Liow (dua kanan) melihat model pesawat ACE di tapak pameran.
Oleh Erywan Norshal

Seri Kembangan: DRB-Hicom Asia Cargo Express (ACE) Sdn Bhd, anak syarikat KL Airport Services (KLAS) Sdn Bhd merancang untuk memperluaskan operasi perniagaan logistik pengangkutan udaranya ke negara Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLAS Datuk Shukrie Salleh berkata, pihaknya mahu mengembangkan operasi perkhidmatan itu membabitkan empat jam perjalanan udara seperti Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Menurutnya, pihaknya kini mempunyai dua pesawat Boeing 737-400 F bagi perkhidmatan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak selepas pengambilalihan syarikat logistik pesawat, Gading Sari Sdn Bhd pada awal tahun ini.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, ACE bakal menambah empat lagi pesawat yang setiap satunya berharga kira-kira AS$5 juta (RM22 juta).

“Kos itu tidaklah terlalu besar kerana pihaknya menerima pesawat penumpang terpakai sebelum diubah suai kepada kargo,” katanya pada Pameran Pengangkutan dan Logistik Asean (ATLS) 2015, di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pengambilalihan ACE bernilai RM72 juta dimuktamadkan akhir Februari lalu dan ia dijangka memacu pendapatan RM100 juta dalam tempoh setahun beroperasi.

Perkhidmatan itu digunakan sepenuhnya oleh anak syarikat DRB-Hicom Berhad iaitu Pos Malaysia Bhd bagi urusan logistik ke Sabah dan Sarawak.

Majlis ATLS 2015 disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Pameran tiga hari yang bermula semalam dikuasai 14 syarikat di bawah Kumpulan DRB-Hicom Group sebagai pemain industri utama dengan penyelesaian logistik bersepadu meliputi perkhidmatan laut, darat dan udara.

Shukrie berkata, cabang perniagaan logistik di bawah DRB-Hicom mengalami pertumbuhan dua angka setiap tahun kebelakangan ini dan merancang mengembangkannya supaya mampu mengekalkan prestasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:35 AM