myMetro

Kuala Terengganu: Kedatangan Ramadan bukan saja memberi keuntungan kepada peniaga, malah turut diambil peluang pelajar tahfiz dari pelbagai maahad tahfiz seluruh negeri menjalani latihan dan amali sebagai imam solat Tarawih.

Tidak terkecuali dua pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Azahar (AL-AZHAR) Kuala Ibai iaitu Ahmad Amir Arsyad Zakaria, 15, dan Mohd Adib Muzakir Sabli, 18, yang bertugas sebagai imam Tarawih jemputan di Surau Kastam, Kampung Gong Kapas, di sini.

Ahmad Amir berkata, dia berasa teruja apabila menerima tawaran sebagai imam Tarawih di surau berkenaan walaupun baru setahun menuntut di AL-AZHAR itu.

“Pertama kali saya mengimami solat Tarawih dan berasa agak gugup pada hari pertama kerana perlu menjadi imam kepada orang yang lebih dewasa di surau berkenaan.

“Nasib saya baik kerana pengerusi selain imam dan bilal surau berkenaan memberi sokongan dan sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mengimami mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Surau Kastam, malam kelmarin.

Ahmad Amir berkata, dia berjaya menghafal 11 juzuk dan berharap dapat menghafaz keseluruhan al-Quran pada tahun hadapan.

“Peluang menjadi imam Tarawih di surau itu menjadi medan untuk saya membiasakan diri sebagai imam selain membantu saya mengulangi hafalan al-Quran ketika solat Tarawih.

“Sebelum ini, saya kurang berkeyakinan untuk menjadi imam walaupun sudah menghafal 11 juzuk tetapi selepas beberapa hari menjadi imam solat Tarawih di surau berkenaan, saya kian dapat membiasakan diri,” katanya yang berasal dari Kampung Gaung Lati, Pasir Mas, Kelantan.

Mohd Adib pula berkata, kali pertama dia bertugas sebagai imam Tarawih di negeri itu kerana sebelum ini dia hanya menjadi imam Tarawih di kampungnya iaitu di Kampung Parit Empat, Sekinchan, Selangor.

“Ramadan kali ini adalah tahun ketiga saya bertugas sebagai imam Tarawih, namun kali ini lebih istimewa kerana bertugas di negeri orang.

“Bertugas sebagai imam Tarawih memang membantu meningkatkan tahap keyakinan, sekali gus menguatkan hafalan pelajar tahfiz,” katanya.

Pengerusi Surau Kastam, Nik Mohd Ramzu Nasri Nik Ibrahim berkata, lebih 10 tahun pihaknya menggunakan khidmat imam tahfiz untuk mengimami solat Tarawih di surau itu.

“Ia sebagai usaha untuk memberi peluang kepada jemaah surau mendengar bacaan al-Quran secara keseluruhannya berbanding surah lazim ketika solat fardu pada hari biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:54 AM
AHMAD Amir (dua dari kanan) dan Mohd Adib  bermuzakarah mengenai al-Quran.
AHMAD Amir (dua dari kanan) dan Mohd Adib bermuzakarah mengenai al-Quran.