myMetro

Temerloh: Wanita warga Indonesia yang bersalin dalam bas ekspres di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Lanchang, di sini, kelmarin, mahu memberikan nama Lucy Bastrisya kepada bayi perempuannya.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Wagini, 34, berkata pemilihan nama itu adalah disebabkan Bastrisya mempunyai perkataan bas sesuai dengan anaknya yang dilahirkan di dalam bas ekspres berkenaan.

Katanya, Lucy pula disebabkan ia nama adiknya yang menemani ketika dia melahirkan anak di dalam bas berkenaan.

“Namun, saya perlu mendapat persetujuan suami (Ahmad),” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, semalam.

Wagini berkata, bayi perempuan yang dilahirkan seberat 3.8 kilogram itu kini mendapat rawatan di wad lain kerana mengalami demam kuning.

“Ketika kejadian kandungan saya berusia tujuh bulan 20 hari, tapi tidak sangka bersalin awal, namun bersyukur anak selamat,” katanya yang berasal dari Tanjung Balai.

Menurutnya, ketika itu dia bersama Lucy, 32, dalam perjalanan bertemu suaminya di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Indonesia.

Akhbar ini semalam melaporkan seorang pemandu bas ekspres dari Kuantan ke Kuala Lumpur menempuh detik cemas apabila seorang penumpang wanita bersalin di dalam bas dipandunya di LPT berhampiran Lanchang.

Mohd Zaidi Yusof, 37, berkata, basnya bertolak dari Terminal Sentral Kuantan (TSK) jam 7.45 pagi, namun sebaik melepasi jarak 10 kilometer dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, keadaan cemas mula tercetus apabila dimaklumkan ada penumpangnya sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 9:17 AM