Oleh Arifin Salleh

Jasin: Seorang pemandu lori muatan mi tauhu maut manakala kelindan patah kaki kiri selepas lori dinaiki terbabas dan terbalik di Klilometer 188.6, Lebuhraya PLUS, arah selatan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 5 pagi, lori lima tan dipandu Suhaimi Hamid, 32, dan kelindan Mohd Yusri Salim, 34, hilang kawalan selepas dipercayai dirempuh bas ekspres dari arah sama setibanya di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa tercampak dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala kelindannya turut tercampak dan patah kaki kiri.

Difahamkan, lori dinaiki mangsa dari Lendu, Alor Gajah ke Johor Bahru sebelum dirempuh bas ekspress yang membawa 15 penumpang dari Butterworth ke Johor Bahru.

Bagaimanapun penumpang, pemandu dan pembantu pemandu bas terselamat.

Beliau berkata, mangsa yang maut dan parah dihantar ke Hospital Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 1:50 PM