operasi  kerja perobohan bagi binaan penutupan longkang dan tambahan struktur di Kawasan Komersial MPSJ di Jalan Kenari, Bandar Puchong Jaya.
operasi kerja perobohan bagi binaan penutupan longkang dan tambahan struktur di Kawasan Komersial MPSJ di Jalan Kenari, Bandar Puchong Jaya.
Amirol Amin Abu Bakar dan Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Puchong: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertindak tegas terhadap 67 premis dengan merobohkan pembinaan haram di atas longkang dan menutup laluan umum selain gagal mematuhi garis struktur pembinaan bangunan di Kawasan Komersial MPSJ, Jalan Kenari Bandar Puchong Jaya, semalam.

Tindakan dilakukan selepas tempoh notis sebulan diberikan tamat pada 4 Mac lalu menerusi Operasi Kerja-Kerja Perobohan bagi Binaan Penutup Longkang atau Tambahan Struktur di kawasan berkenaan.

Pegawai Komunikasi Korporat MPSJ Muhammad Azli Miswan berkata, pada mulanya 90 premis diberikan Notis Pemberitahuan Bangunan mengikut Seksyen 72, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, namun hanya 23 premis mengambil tindakan sendiri lebih awal.

“Operasi ini susulan Kempen Longkang Bersih yang dilaksanakan pada 1 November 2015 dan berakhir 31 Januari lalu bertujuan memastikan keadaan longkang di kawasan itu sentiasa bersih melalui kerjasama pemilik atau penyewa premis dalam mematuhi penyeragaman pemasangan penutup longkang.

“Pemilik premis yang masih berdegil MPSJ dan pihak berkuasa yang lain akan melaksanakan pelan penguatkuasaan, pemeriksaan kesihatan, kompaun dan pelan lain secara berterusan,” katanya.

Tambahnya lagi, operasi ini jelas menunjukkan bahawa MPSJ serius dalam usaha mengubah imej kawasan komersial di sini menjadi lebih baik.

Sebelum tindakan itu dilakukan, setiap pemilik premis diberi notis awal, tetapi mereka hanya patuh pada saat-saat akhir saja.

Operasi itu turut mendapat kerjasama dari ahli Majlis, Jawatankuasa penduduk (JKP) serta pemilik atau penyewa premis.

“Ia menjadi perintis dan akan diperluaskan ke semua kawasan komersial sekitar pentadbiran MPSJ,” katanya.

Selepas tindakan penguatkuasaan dan undang-undang dilaksanakan, program penambahbaikkan seperti kerja turapan, tambah petak parkir dan menaiktaraf landskap akan dilakukan di seluruh kawasan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:38 AM