Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Lokasi perniagaan di Bulatan Puchong Permai tidak sesuai sebagai tapak penjaja selain wujud pelanggaran syarat permit sementara seperti gerai di atas rizab jalan dan berstruktur tetap.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, jalan terbabit juga termasuk dalam pelan menaiktaraf infrastruktur termasuk kerja turapan, median dan side kerb serta anti-climbing fencing akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, MBSJ juga mengambil inisiatif dengan menempatkan semula penjaja dan memenuhi kriteria di lokasi perniagaan baharu iaitu di struktur berbumbung Dataran Puchong Permai.

"Dua sesi taklimat bagi tujuan ini turut diadakan pada 1 Oktober 2020 iaitu taklimat perancangan pembangunan dan taklimat pemindahan peniaga pada 10 Disember 2020.

"MBSJ sudah mengeluarkan Notis Pemberitahuan (Bangunan) pada 24 September 2019 kepada penjaja terbabit diikuti dengan Notis Pemberitahuan Kedua (Bangunan) pada 13 Mei 2020 di bawah kesalahan Seksyen 46 (1) (a) & Seksyen 70 (13) (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) untuk meruntuhkan keseluruhan bangunan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, MBSJ akan meneruskan operasi bersepadu ini dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan dipatuhi peniaga dan menyeru mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan.

Menurutnya, operasi semalam bermula jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 11.45 pagi dengan kekuatan seramai 63 pegawai daripada Jabatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Pelesenan dan 27 anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya serta enam wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, pihaknya meruntuhkan lima binaan struktur tanpa izin daripada 36 struktur yang dibina di rizab jalan.

"Tindakan ini mengikut Seksyen 46 (1) (a) & 70 (13) (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) selepas gagal mematuhi arahan notis yang dikeluarkan manakala selebihnya, pemilik binaan struktur tanpa izin diminta untuk meruntuh sendiri dalam tempoh tujuh hari dan peniaga tidak dibenar untuk menjalankan apa-apa perniagaan dalam tempoh itu," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, peniaga di situ merayu supaya gerai mereka tidak dirobohkan kerana tidak mempunyai mata pencarian lain.

Mereka berhimpun di situ sejak awal pagi bagi membantah kerja-kerja perobohan oleh MBSJ dan agensi berkaitan.

Berita berkaitan

Dengar dulu keluh-kisah peniaga [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 11:23 AM
OPERASI perobohan gerai oleh MBSJ di Puchong Permai, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
OPERASI perobohan gerai oleh MBSJ di Puchong Permai, semalam. FOTO Asyraf Hamzah