Mior Faridalathrash  (kanan) bersalaman dengan orang ramai  di Pondok Polis Lembah Permai, Tanjung Bungah, semalam.
Mior Faridalathrash (kanan) bersalaman dengan orang ramai di Pondok Polis Lembah Permai, Tanjung Bungah, semalam.

Georgetown: Seorang pengawal keselamatan di GiatMara, Gelugor, di sini, diikat individu tidak dikenali sebelum mereka memecah masuk ke dalam bilik fotografi dan melarikan barangan berharga lebih RM5,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa berusia 21 tahun bertugas di pos pengawal keselamatan sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi dan menutup muka menggunakan sapu tangan.

Difahamkan, lelaki bertopeng berkenaan kemudian menarik mangsa ke dalam bilik fotografi di situ sebelum diacukan benda tajam di belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika berada di dalam bilik berkenaan, dia sempat melihat kelibat tiga lelaki sebelum salah seorang daripada mereka mengarahkan mangsa tidak membuat bising jika ingin selamat dan mengikat tangannya.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian menyelongkar bilik berkenaan bagi mencari barangan berharga sebelum melarikan beberapa kelengkapan.

“Sebelum melarikan diri, ketiga-tiga suspek mengunci mangsa di dalam bilik berkenaan dengan tangan terikat sebelum mangsa berjaya membuka ikatan tangannya dan pulang ke rumahnya.

“Mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada pengurus GitMara berkenaan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam bilik berkenaan dengan mengumpil pintu bilik kelas fotografi dan masuk serta keluar melalui jalan yang sama sebelum melarikan pelbagai barangan berharga yang berada dalam bilik berkenaan.

“Antara barangan yang hilang termasuk dua unit telefon bimbit, kad pengenalan, wang tunai RM50, dua unit komputer riba dan kamera yang dianggarkan semuanya bernilai lebih RM5,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:03 AM