Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Ejen hartanah wanita berusia 57 tahun kerugian RM20,500 sejurus disamun lelaki yang menyamar untuk membeli rumah di Taman Desa Rasah, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Asisten Superintendan Norazman Muhammad Yusuf berkata, dalam kejadian 8 malam itu, mangsa yang membuat temu janji bersama lelaki itu membawanya ke taman terbabit untuk meninjau rumah.

Katanya, setibanya dalam rumah berkenaan, lelaki berusia 30-an itu menerpa ke arah mangsa sebelum menutup mulut dan mengingat kedua-dua tangannya.

"Pada masa itu muncul dua lagi rakan suspek yang kemudian mengacukan parang di leher mangsa dan memaksanya menyerahkan barangan berharga," katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak dapat berbuat apa-apa hanya dapat menyaksikan barangan miliknya diambil ketiga-tiga lelaki itu sebelum mereka melarikan diri.

"Dalam kejadian berkenaan, mangsa kehilangan telefon bimbit, tiga cincin emas, dua gelang tangan, sepasang subang, beg tangan dan wang tunai RM2,500," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan mangsa kerugian RM20,500 dalam insiden yang menyaksikan suspek menggunakan modus operandi baru untuk menyamum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 1:14 PM