PENERIMA bantuan persekolahan daripada MEX di SJKT Dengkil.
PENERIMA bantuan persekolahan daripada MEX di SJKT Dengkil.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Pembayaran tol secara elektronik menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) akan dilaksanakan sepenuhnya Januari tahun depan.

Pengurus Kanan Operasi MEX Salleh Adnan berkata, pelaksanaan pembayaran menerusi kaedah itu termasuk di laluan keluar Seri Kembangan yang pembinaannya dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

“Buat masa ini, kita melaksanakan persiapan berhubung pelaksanaan pembayaran secara elektronik termasuk menghebahkannya kepada pengguna kenderaan.

“Misalnya, kita menggantung kain rentang serta memaklumkan pengguna mengenai pelaksanaan yang akan dibuat MEX ke arah pembayaran secara elektronik sepenuhnya,” katanya kepada media pada Program Ceramah Keselamatan Jalan Raya dan Penyampaian Bantuan Persekolahan Murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil di sini, semalam.

Hadir sama, Guru Besar SJKT Dengkil M Tamil Sekaran.

Salleh berkata, pembayaran secara elektronik dilihat mampu mempercepatkan perjalanan pengguna selain mengelak kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Jika menggunakan pembayaran secara tunai, memang lambat ketika urusan mahu mengembalikan wang baki dan sebagainya berbanding kaedah pembayaran secara elektronik,” katanya.

Mengenai program bantuan semalam, beliau berkata, ia disasarkan kepada murid yang memerlukan serta kurang berkemampuan sekali gus meringankan beban persekolahan mereka pada sesi tahun depan.

Katanya, seramai 130 murid menerima sumbangan bantuan persekolahan iaitu daripada tahun satu hingga enam.

“Bantuan ini membabitkan beg sekolah, buku, peralatan sekolah seperti pen, pensil, stoking dan payung.

“Program bantuan ini diadakan pihak MEX sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta diadakan setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:15 AM