WONG Kah Woh (baris belakang, tengah) beramah-mesra bersama murid SJK (T) Ladang Sungai Samak. FOTO Muhamad Lokman Khairi
WONG Kah Woh (baris belakang, tengah) beramah-mesra bersama murid SJK (T) Ladang Sungai Samak. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Tiada sekolah kurang murid (SKM) ditutup pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Katanya, sebanyak 3,038 sekolah di seluruh negara dikategorikan sebagai SKM ketika ini kerana mempunyai kurang daripada 150 murid dan 419 daripadanya berada di Perak yang menerima peruntukan sama seperti sekolah lain.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) terus memberi perhatian khusus kepada sekolah terbabit dengan peruntukan yang sewajarnya.

"Sebagai contoh di Perak, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberikan peruntukan RM38,000 kepada semua sekolah kerajaan tanpa mengira bilangan murid tahun ini.

"Ini membuktikan JPN dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan perhatian dan pertimbangan sama rata kepada kesemua sekolah," katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dekat Ulu Bernam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong dan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM merangka empat strategi menangani isu SKM berlandaskan inisiatif Pelaksanaan Pelan Hala Tuju SKM antaranya pendekatan kelas bercantum.

"Bagi sekolah yang bilangan murid kurang daripada 30 orang, kelas murid Tahun Dua digabungkan dengan Tahun Tiga, manakala Tahun Empat digabungkan dengan Tahun Lima

"Kelas murid Tahun Enam tidak terbabit dengan kelas bercantum," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini juga terdapat beberapa sekolah kategori SKM sudah dipindahkan ke lokasi atau bangunan yang baharu seperti yang diumumkan di Parlimen oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Taiping itu melawat dan menyerahkan peruntukan RM50,000 kepada enam sekolah dalam kawasan Parlimen Teluk Intan untuk menambah baik kemudahan sedia ada serta kerja penyelenggaraan.

Enam sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bernam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Bernam, SJKT Ladang Sungai Samak, SJKT Ladang Ulu Bernam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Min 1 dan SJKC San Min 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 4:33 PM