KEADAAN Perodua Kembara dan lori selepas terbabit kemalangan.
KEADAAN Perodua Kembara dan lori selepas terbabit kemalangan.
Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: “Selepas kemalangan, saya seolah-olah menyangka ia hanya mimpi, namun sebaik melihat anggota bomba dan polis sedang mengeluarkan suami yang tersepit di bahagian depan Perodua Kembara yang remuk, saya baru tersedar ia adalah kejadian yang benar-benar berlaku.

“Ketika itu saya melihat tangan suami terkulai dan tidak bergerak,” kata Siti Rasidah Mat Yusof, 33.

Kemalangan jam 2.10 petang kelmarin di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Sekinchan, berlaku selepas Perodua Kembara yang dinaiki mereka empat beranak dirempuh dari belakang oleh sebuah lori sebelum terseret dan melanggar pula sebuah lori lain di hadapan.

Siti Rasidah berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke rumah ibunya di Ban 2 ½ Parit 9 Sungai Leman.

“Kemalangan itu menyebabkan suaminya Muhammad Noor Yaakub, 33, maut manakala saya dan dua anak cedera ringan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kedua-dua anaknya, Nurfaiqah Dayana dan Muhammad Firas Mikail yang masing-masing berusia empat tahun dan 14 tahun duduk di tempat duduk penumpang belakang ketika kejadian dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.

Katanya, selesai bedah siasat, jenazah suaminya dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Ketil, Kedah untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Azmi Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku ketika kenderaan dinaiki keluarga berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat menghala ke Parit 9.

“Kenderaan mangsa dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan ia melanggar pula sebuah lagi lori lain yang berhenti di hadapannya.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kembara tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian. Tiga lagi penumpang iaitu isteri dan dua anak mangsa cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tanjung Karang,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu lori terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:42 AM