Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius pembabitan pelajar sekolah dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini dan komited membasminya.

Menurut kenyataan dikeluarkan semalam, KPM bersama Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) serta ibu bapa dan masyarakat setempat bekerjasama menangani masalah berkenaan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, mereka bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti pendidikan, pencegahan dan aktiviti berbentuk intervensi bagi mengatasi penularan penyalahgunaan dadah di sekolah seluruh negara.

Kata beliau, beberapa program dan aktiviti pendidikan pembasmian dadah yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak terbabit kempen pencegahan di peringkat sekolah, daerah serta negeri.

Selain itu, pihaknya mengadakan pelbagai siri pameran, ceramah mengenai bahaya dadah, mesej 5 Minit Antidadah, Skim Lencana Antidadah dan menyediakan sudut pendidikan pencegahan di peringkat sekolah bagi memastikan maklumat mengenainya disebarkan kepada rakan sebaya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:15 AM