Shah Alam: Kira-kira 200 pemilik rumah di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran, Klang, kesal dengan pemaju yang mengeluarkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) walaupun kediaman mereka masih belum ‘layak’ diduduki.

Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penduduk Sementara taman berkenaan Wong Hee Boon berkata, mengikut perjanjian jual beli, projek berkenaan sepatutnya siap pada Oktober 2014 dan pembeli menerima CCC Januari lalu.

“Bagaimanapun, ramai pembeli mendapati rumah berkenaan tidak selamat dan tidak siap sepenuhnya untuk diduduki kerana terdapat beberapa isu yang gagal diselesaikan pemaju sehingga kini.

“Antaranya tembok di tebing Sungai Aur berhadapan sebaris rumah bertujuan memisahkan taman perumahan dan sungai yang sudah runtuh dua kali. Namun sehingga kini pemaju gagal menyiapkan tembok berkenaan walaupun CCC diberikan.

“Kami dijanjikan taman ini berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan, namun keadaan itu tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di SUK Selangor, di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menyerahkan surat aduan kepada Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) untuk tindakan selanjutnya daripada kerajaan negeri.

Menurut beliau, jalan utama ke taman berkenaan yang sepatutnya menjadi akses kepada pemilik rumah juga masih dalam keadaan menyedihkan.

Ejen insurans Choi Chean Chiang, 41, berkata, dia membeli rumah itu sejak Oktober 2012 dan perlu membayar ansuran RM1,900 setiap bulan namun rumahnya itu belum dapat diduduki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 6:40 AM