MOHAMAD Yusoff  (dua dari kanan) meninjau Projek Perumahan Terbengkalai Taman Saujana Puchong, Fasa 7, semalam.
MOHAMAD Yusoff (dua dari kanan) meninjau Projek Perumahan Terbengkalai Taman Saujana Puchong, Fasa 7, semalam.
Oleh Garret Dawum


Puchong: Penantian 15 tahun kira-kira 228 pembeli rumah pangsa kos rendah (RPKR) di Taman Saujana, di sini berakhir apabila rumah berkenaan yang siap sepenuhnya pada 24 Disember 2014 kini sudah boleh diduduki.

Peniaga, Muhamad Farid Takyon, 37, menzahirkan rasa syukur kerana masalah membabitkan rumah yang dibelinya pada 2003 itu kini selesai.

“Tiada apa yang boleh saya katakan lagi kerana sudah lama saya tunggu untuk tinggal di rumah pertama ini yang dibeli ketika masih bujang.

“Saya memang tidak sabar membawa keluarga terutama isteri dan dua anak ke sini walaupun memiliki sebuah lagi rumah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Terbengkalai Taman Saujana Puchong, Fasa 7 dan Sijil Layak Menduduki (CFO) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali.

Pada majlis itu, Mohamad Yusoff menyampaikan kunci kepada setiap pembeli rumah.

Muhamad Farid antara pembeli yang terpaksa menanti projek RPKR di kawasan berkenaan yang diisytiharkan terbengkalai sejak 18 September 2013.

Katanya, rumah itu sangat bernilai buat dirinya dan memberitahu sepanjang projek itu dijalankan sehingga terbengkalai, dia melawat kawasan projek setiap dua atau tiga bulan sekali untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Sementara itu, Mohamad Yusoff berkata, projek RPKR yang mempunyai lima blok itu terbengkalai dengan dua blok tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Sepatutnya, pemaju asal perlu menyiapkan projek berkenaan pada pertengahan 2000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 8:25 AM